Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Mula-mula sekali makhluk yang dijadikan Allah ialah Akal. Allah berfirman kepada akal; ‘Mengadaplah kepadaKu’, akal pun mengadap. Kemudian Allah berfirman lagi: ‘Membelakangilah.’ Akal pun menurut perintahNya. Kemudian Allah berfirman lagi: ‘Demi kemulian dan kebesaranKu, tidak Aku jadikan makhluk yang lebih mulia daripada engkau. Dengan engkau Aku mengambil dan dengan engkau Aku memberi. Dengan engkau Aku memberi pahala dan dengan engkau Aku menyeksa (orang yang derhaka).” – (riwayat At-Tabrani dari Abi Umaimah).
Dalam hadis lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada usaha yang lebih utama oleh seseorang seperti keutamaan akal. Akallah yang membantu memberi pertunjuk kepada orang yang memilikinya agar terselamat daripada kehinaan. Tidak sempurna iman dan tidak tertegaknya agama pada diri seseorang sebelum sempurna akalnya.” – (riwayat Ibnu Mahbar dari Umar r.a.).
Dalam satu lagi hadis, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak sempurna akhlak seseorang itu sebelum sempurna akalnya. Setelah sempurna akal dan akhlak barulah sempurna imannya. Barulah manusia itu akan mentaati Allah dan menderhakai iblis.” – (Riwayat Ibnu Mahbar dari Amar bin Syu’aib).
Tempat akal itu adalah di dalam hati atau kalbu dan ia juga merupakan tempat berkumpulnya ilmu pengetahuan. Menurut Imam Al-Ghazali, hati itu ibarat cermin. Apabila terang cerminnya, maka akan teranglah segala maklumat atau ilmu pengetahuan yang diterima. Menurutnya lagi, Akal itu adalah hakikat sesuatu. Ia adalah sifat ilmu yang terdapat dalam perbendaharaan hati. Ia adalah alat untuk menangkap maklumat.
Dalam hubungan ini, akal itu ialah hati itu sendiri, yang merupakan hakikat manusia. Dengan adanya akal, hati dapat mengetahui dan mengenali segala sesuatu yang difikirkan dan yang dapat dikesan oleh pancaindera. Menurut beberapa Ilmuan; definisi akal adalah:
- Bertempat di hati kerana hati itu lombong kehidupan manusia dan ia merupakan bahan atau alat untuk perasaan – Al-Maawardi
- Akal ialah ‘nur’ yang dengannya manusia dapat membezakan antara jalan yang lurus dengan yang menyimpang; kebaikan dengan kejahatan, kemungkinan dengan kemustahilan dan yang benar dengan yang batil – Muhammad Taqiyyul Mudarissi
- Akal ialah cahaya yang suci dari liputan prasangka – (Prof. Dr. Yusuf al-Qarrdhawi : Ulama fiqh Islam kontemporari)
- Akal adalah suatu bahan (jauhar) yang halus (rohani), yang dapat memisahkan hakikat-hakikat perkara yang maklum
HATI atau KALBU atau Qalb, ertinya sifat jiwa yang berubah-ubah, tidak tetap. Terkadang ia bersifat muthmainnah, kadang juga lawwamah, atau berubah menjadi ammarah bissuu’. Jiwa yang mempunyai sifat berubah-rubah inilah, dinamakan Qalbun !! Dan jiwa yang selamat disebut Qalbun salim (selamat dari sifat yang berubah-rubah) - illa man atallaha biqalbin saliim - kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang selamat. (QS. Asy Syura: 89)
Manakala, fakta sains fizik moden mengatakan akal letaknya pada organ otak manusia. Ini adalah kerana, otak merupakan tempat penerimaan segala tanggapan daripada pancaindera tubuh dan aktiviti jiwa. Tiga bahagian utama otak adalah serebrum (terbahagi pada 2 hemisfera), system limbik, dan ‘brain stem’ dan Serebellum. Antara fungsi dan tugasannya adalah :
- Bahagian luar serebrum (neokorteks) – bertanggung jawap pada aktiviti utama minda. Dikenali juga sebagai otak atas, otak rasional, otak sedar, otak baru, otak intelek. Ia mengawal dan melaksanakan semua proses dan aktiviti intelek.
- Sistem Limbik – bertanggungjawap tentang perlakuan emosi dan memainkan peranan penting dalam pembelajaran dan transformasi ingatan.
- ‘Brain stem’ & Serebellum (Otak reptilian kompleks) – bertanggungjawap menjalankan fungsi utama naluri dan melakukan sesuatu mengikut urutan biasa seperti fungsi tubuh dan pergerakan tubuh
No comments:
Post a Comment